SEPANG: Seorang ahli terapi pusat rawatan alternatif didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyebarkan maklumat palsu berkaitan Budi MADANI RON95 (BUDI95) menerusi akaun Facebook miliknya.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ariffaizal Mohd Nor Ariffin, 46, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dan memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Ariffaizal didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi satu hantaran di Facebook pada 6 April lepas.
Hantaran itu kemudiannya dilihat di Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya kira-kira 5 petang pada 7 April.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam penghakimannya, Ahmad Fuad berkata kesalahan dilakukan tertuduh boleh mengundang pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dimuat naik bersama dengan kenyataan tidak benar sehingga menyebabkan orang ramai menyangka kenyataan itu datang daripada Perdana Menteri sendiri.
"Lepas ini lebih berhati-hati guna media sosial kerana setiap hantaran yang dimuat naik boleh dilihat ribuan pengikut sebelum dikongsi sehingga menjadi tular. Jangan kongsi perkara seperti ini lagi, sebaliknya lebih baik berhenti apabila ia sampai kepada kita di media sosial, sebab dosa dapat, hukuman pun dapat," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Nazrul Nizam Mohd Zameri, manakala Ariffaizal diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan.
Terdahulu, tertuduh merayu hukuman terhadapnya diringankan atas alasan menghidap penyakit gout, selain perlu menanggung isteri, bapa yang uzur berusia 80 tahun serta sembilan anak yang masih belajar.
-- BERNAMA