KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan pemimpin yang mempunyai jawatan dalam kerajaan agar tidak sombong dengan kedudukan dimiiliki sehingga jauh daripada masyarakat.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, pemimpin perlu sentiasa berusaha untuk memahami dan berada dengan rakyat Malaysia.

“Jangan risau duduk bersila dengan mereka atas simen yang dipijak oleh orang ramai.

"Jangan sombong dengan mereka hinggakan ingin 'selfie' pun ditolak konon sibuk dengan kerja.

“Kita juga rakyat biasa walau kini ada sikit kedudukan yang sementara. Mari kita saling memahami dan jangan menjauhi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Beliau sebelum itu hadir melancarkan acara Larian Tahun Baharu 2023 yang diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Kuala Lumpur pada pagi Ahad melibatkan penyertaan ribuan peserta terdiri daripada dalam dan luar negara.

Menerusi hantaran berasingan, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian turut berkongsikan keterujaannya dan kagum terhadap acara berkenaan.

“Ramai ambil gambar dengan saya. Terima kasih kepada mereka, pelbagai bangsa harmoni sokong perpaduan yang sedang dinikmati semua.

"Walau pernah sembilan tahun jadi Timbalan Menteri, ini kali pertama dijemput acara sebegini.

“Semoga bertemu kembali dalam acara seperti ini. Amalkan gaya hidup sihat. Tidak guna harta yang ada jika penyakit melingkari kehidupan.

“Jaga makan, minum dan hindari rokok, alkohol serta hal-hal yang kurang baik.

"Setia kepada pasangan hidup anda agar tiada sengsara dalam ceria, tiada dusta dalam bahagia,” ujarnya. - Sinar Harian