Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyambut baik titah Majlis Raja-Raja Melayu agar kerajaan segera menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad, 1MDB.

Ahmad Razif menegaskan, penyelesaian segera isu berkenaan mampu menghapuskan pelbagai fitnah serta memulihkan persepsi terhadap kerajaan.

''Saya menjunjung kasih dengan apa yang disampaikan Majlis Raja-raja kerana Baginda sekalian mahu memastikan keadaan negara aman dan stabil kerana banyak berlaku fitnah, persepsi dan sebagainya,'' katanya kepada media di sini, hari ini.

Ahmad Razif pada masa sama, yakin isu berkenaan akan ditangani dengan baik memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini meminta tempoh enam bulan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

''Ini sudah 10 bulan dan tinggal dua bulan sahaja lagi. Saya difahamkan, seperti dijanjikan Perdana Menteri bahawa isu ini akan selesai,'' katanya.


BACA: Titah Majlis Raja-Raja dinilai baik oleh pentadbiran kerajaan - Zahid

BACA: Jangan salah tafsir mesej Majlis Raja-Raja - Hishammuddin

BACA: 'Raja-raja Melayu prihatin isu 1MDB' - Muhyiddin

Raja-Raja Melayu pada Selasa mahu kerajaan menyelesaikan segera siasatan berkaitan isu 1MDB dan tindakan tegas yang sewajarnya dikenakan terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Baginda sekalian khuatir kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang menyakinkan, dikhuatiri mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

Ahmad Razif ditemui selepas mengedarkan pelekat Kereta Pesona Terengganu kepada pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.