Ringkasan AI
- IDEAS mencadangkan Akta Pendanaan Politik mengharamkan sumbangan dana daripada kerajaan asing, entiti luar, dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
- Larangan sumbangan kepada individu ahli politik dicadangkan, kecuali semasa kempen pilihan raya, dengan semua dana disalurkan ke akaun bank rasmi parti.
- IDEAS menekankan keperluan ketelusan, mewajibkan parti politik dedah punca dan jumlah dana kepada umum melalui laporan tahunan atau pangkalan data terbuka.
KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mencadangkan agar Akta Pendanaan Politik yang bakal digubal kelak memuatkan peruntukan tegas bagi mengharamkan sumbangan dana daripada kerajaan asing, entiti luar, dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, larangan tersebut amat penting bagi mengelakkan konflik kepentingan serta campur tangan luar dalam ekosistem politik dan pentadbiran negara.
Ketika menjadi panelis pada Forum Persepsi Rasuah 2026 di ibu negara pada Rabu, beliau memberikan contoh kes 1MDB sebelum ini, di mana dana yang disalurkan ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri didakwa berpunca daripada pihak luar.
"Rang undang-undang yang dicadangkan itu melarang (penerimaan) derma daripada kerajaan asing, entiti asing, dan juga GLC.
"Isu larangan kerajaan asing ini sangat penting... larangan terhadap entiti asing dalam hal derma ini juga merupakan satu peruntukan yang sangat lazim di negara-negara lain yang mempunyai akta pendanaan politik," katanya.
Selain itu, Aira menegaskan bahawa sumbangan daripada mana-mana GLC juga perlu diharamkan sepenuhnya kerana ia jelas mengundang pertindihan dan konflik kepentingan antara agensi awam dengan parti.
Hentikan sumbangan ke poket individu
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa satu lagi anjakan besar yang perlu dilakukan dalam reformasi ini adalah menoktahkan budaya derma kepada ahli politik secara peribadi.
Jelasnya, sumbangan terus kepada individu bergelar ahli politik wajar dilarang sama sekali, kecuali apabila tiba tempoh kempen pilihan raya.
Bagi merealisasikan perkara itu, beliau berkata, akta baharu tersebut kelak perlu mewajibkan setiap parti politik mendaftarkan akaun bank rasmi mereka dengan kerajaan.
"Ini merupakan satu lagi bidang pembaharuan utama yang akan membawa anjakan besar berbanding bagaimana sistem pada ketika ini beroperasi.
"Undang-undang akan mewajibkan parti-parti mempunyai akaun bank yang didaftarkan dengan kerajaan, dan wang (sumbangan) hanya disalurkan terus ke dalam akaun bank tersebut dan bukan ke dalam poket individu ahli politik," tegasnya.
Ketelusan pangkalan data
Menyentuh mengenai elemen ketelusan, Aira menekankan bahawa ia merupakan objektif paling utama mengapa undang-undang tersebut mendesak untuk diwujudkan segera.
Ketelusan dalam konteks ini, tambahnya, bermaksud setiap parti politik diwajibkan mendedahkan secara umum segala punca dan jumlah dana yang diterima oleh mereka kepada pengetahuan awam.
Menurutnya, pendedahan itu boleh dilakukan sama ada melalui pembentangan laporan tahunan secara fizikal, atau menerusi sistem pangkalan data terbuka yang lebih sistematik.
"Dalam sesetengah negara yang sistemnya jauh lebih canggih, mereka akan mempunyai satu pangkalan data yang sentiasa beroperasi.
"Anda boleh melayari pangkalan data itu dan melihat parti mana yang mendapat derma, daripada entiti mana ia datang, berapakah jumlahnya, dan bila ia diberikan," ujarnya.