Skip to main content

Malaysia

Sultan Selangor zahir rasa kagum penubuhan Muzium Tekstil Merdeka

Sultan Sharafuddin bertitah menzahirkan rasa amat kagum dengan pengisian muzium yang terletak di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur itu khususnya terhadap mutu kuratorial serta ketelitian penyusunan dan persembahan koleksi kain, busana dan tekstil yang dipamerkan. -Foto Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin bertitah menzahirkan rasa amat kagum dengan pengisian muzium yang terletak di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur itu khususnya terhadap mutu kuratorial serta ketelitian penyusunan dan persembahan koleksi kain, busana dan tekstil yang dipamerkan. -Foto Selangor Royal Office

Ringkasan AI

  • Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kagum terhadap penubuhan Muzium Tekstil Merdeka di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur.
  • Baginda memuji mutu kuratorial, ketelitian penyusunan koleksi, serta usaha muzium mengetengahkan sejarah dan kehalusan seni tekstil Melayu dan nusantara.
  • Koleksi utama muzium ialah koleksi peribadi Allahyarham Azah Aziz, merangkumi 240 busana dan 69 barangan perhiasan tradisional warisan Melayu.
Advertisement

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kagum dengan penubuhan Muzium Tekstil Merdeka yang berperanan mengangkat kembali sejarah dan ketelitian tekstil dunia Melayu dan nusantara.

Menerusi Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah menzahirkan rasa amat kagum dengan pengisian muzium yang terletak di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur itu khususnya terhadap mutu kuratorial serta ketelitian penyusunan dan persembahan koleksi kain, busana dan tekstil yang dipamerkan.

Advertisement

Baginda turut tertarik dengan pendekatan muzium itu dalam mengetengahkan kehalusan seni pertukangan serta merungkai sejarah, budaya dan identiti masyarakat Melayu dan nusantara melalui setiap helaian tekstil.

“Beta amat kagum dengan penubuhan Muzium Tekstil Merdeka ini dan peranannya sebagai medium mengangkat kembali sejarah dan ketelitian tekstil di dunia Melayu dan nusantara. 

Advertisement

“Beta sebenarnya berharap muzium tekstil sebegini sepatutnya sudah ada di Selangor namun beta kecewa kerana ia masih belum terlaksana,” titah baginda.  

Semalam, Sultan Selangor diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meluangkan masa hampir dua jam melawat muzium itu yang dilancarkan secara rasmi pada 21 Ogos lepas.

Antara khazanah yang mendapat perhatian dan kekaguman baginda ialah koleksi peribadi budayawan Allahyarham Azah Aziz yang menjadi teras utama muzium itu. 

Disumbangkan oleh keluarga Allahyarham, koleksi tersebut merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional, termasuk sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas, sekali gus meneruskan legasi beliau dalam memelihara warisan persalinan Melayu. 

Terletak di bangunan Look at 118, bersebelahan Stadium Merdeka, muzium yang dibangunkan oleh PNB Merdeka Ventures mengangkat tema “The Malay World in Threads and Tales”. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement