KUALA LUMPUR:Tan Sri Muhyiddin Yassin terharu dengan pendirian ahli-ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 yang diluluskan pada peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana Menteri berkata, ia membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu ahli politik mengenepikan sementara 'politicking' bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan  tanpa gangguan ketika negara sedang bergelut dengan ancaman COVID-19

Sokongan itu katanya, membuktikan kematangan ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara lain.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telahpun diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

"Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.

"Ini membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

BACA: Belanjawan 2021 lulus di peringkat dasar di Dewan Rakyat

Muhyiddin berkata, penambahbaikan terhadap belanjawan itu mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen terutamanya daripada PN, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021.

"Saya juga ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Kementerian Kewangan yang telah bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau juga berharap agar Belanjawan 2021 itu akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara.