NATIONAL
Aliran trafik dijangka terus meningkat sehingga Ahad

Melihat pada trend peningkatan trafik, ramai dilihat mengambil peluang menghabiskan cuti Aidilfitri hingga ke penghujung. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aliran trafik meningkat dengan ketara hari ini susulan cuti Aidilfitri yang semakin sampai ke penghujung, dengan beberapa laluan dijangka mengalami kesesakan berterusan sehingga Ahad.
Walaupun pihak PLUS sudah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) tetapi melihat pada trend peningkatan trafik, ramai dilihat mengambil peluang menghabiskan cuti Aidilfitri hingga ke penghujung.
"Bagaimanapun tiada kesesakan luar biasa buat masa ini, hanya trafik bergerak perlahan kerana pertambahan kenderaan yang biasa terjadi pada musim perayaan," kata wakil PLUS yang ditemui.
Antara laluan utama yang bergerak perlahan ketika ini ialah Pendang ke Gurun dan kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Perak ke Terowong Menora di bahagian utara serta Gopeng menghala Tapah, Tanjung Malim ke Bukit Beruntung dan Sungai Buaya ke Rawang di bahagian tengah.Manakala di bahagian selatan, laluan dari Pedas Linggi ke Port Dickson serta Machap ke Sedenak turut bergerak perlahan.
Beberapa kawasan dilanda hujan lebat membuatkan trafik bergerak lebih perlahan.
Sementara itu, setakat jam 8 malam, sebanyak 19 laluan smart lane diaktifkan, antaranya KM 303. 2 sehingga KM297 arah utara (Tapah ke Gopeng), KM 354 sehingga KM 356 arah selatan (Sungkai ke Slim River) dan KM 437.1 sehingga KM 443.3 arah selatan (Sungai Buaya ke Rawang).
Terdapat sejumlah 28 lokasi smart lane di seluruh negara dan akan diaktifkan mengikut keperluan situasi semasa trafik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami