Skip to main content
Advertisement

Dunia

Ratu cantik Jamaica saman Miss Universe selepas cedera otak

Hampir setahun selepas terjatuh dari pentas ketika pertandingan Miss Universe 2025 di Thailand, Gabrielle Henry mengambil tindakan undang undang terhadap Miss Universe Organization (MUO) susulan kecederaan serius yang dialaminya.  Gabrielle yang mewakili Jamaica pada pertandingan berkenaan memfailkan saman pada 21 September lalu di Delaware Superior Court, Amerika Syarikat terhadap MUO serta dua syarikat berkaitan, JKN Legacy Inc. dan Legacy Holding Group USA.
Kesan kecederaan itu didakwa menjejaskan kerjaya Gabrielle dalam bidang perubatan.
Advertisement

HAMPIR setahun selepas terjatuh dari pentas ketika pertandingan Miss Universe 2025 di Thailand, Gabrielle Henry mengambil tindakan undang undang terhadap Miss Universe Organization (MUO) susulan kecederaan serius yang dialaminya.

Gabrielle yang mewakili Jamaica pada pertandingan berkenaan memfailkan saman pada 21 September lalu di Delaware Superior Court, Amerika Syarikat terhadap MUO serta dua syarikat berkaitan, JKN Legacy Inc. dan Legacy Holding Group USA.

Menurut notis saman tersebut, Gabrielle mengemukakan lima tuntutan termasuk dakwaan kecuaian, tanggungjawab terhadap keadaan premis, kecuaian dalam pengambilan dan penyeliaan serta tekanan emosi.

Insiden berkenaan berlaku pada 19 November 2025 ketika pusingan awal Miss Universe di Thailand.

Gabrielle mendakwa dia sedang mengikuti koreografi yang sudah dilatih sebelum terjatuh dari ketinggian kira kira 1.5 meter menerusi satu bukaan di pentas yang didakwanya tidak mempunyai tanda atau penghadang.

Menurut tuntutannya, terdapat peralatan pencahayaan dan permukaan konkrit di bahagian bawah bukaan berkenaan, manakala cahaya pentas yang terang didakwa menyukarkan penglihatannya.

Akibat insiden itu, Gabrielle dilaporkan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan otak traumatik termasuk beberapa jenis pendarahan.

Dia kemudian menerima rawatan di hospital dari 19 November hingga 10 Disember 2025. 

Kenyataan bersama MUO dan keluarga Gabrielle pada Disember lalu turut mengesahkan dia mengalami pendarahan dalam tengkorak, kehilangan kesedaran, patah tulang dan kecederaan pada wajah.

Kesan kecederaan itu juga didakwa menjejaskan kerjaya Gabrielle dalam bidang perubatan.

Gabrielle yang menjalani latihan kepakaran oftalmologi mendakwa dia tidak dapat meneruskan program residensinya selepas kejadian tersebut dan masih berdepan simptom neurologi serta kognitif yang memerlukan rawatan dan rehabilitasi.

Bagaimanapun, MUO dalam kenyataan kepada media berkata pihaknya belum menerima saman berkenaan secara rasmi dan tidak dapat memberikan ulasan terhadap tuntutan yang belum dilihat.

MUO turut menyatakan pihak penganjur tempatan, Miss Grand International dan Miss Universe Thailand bertanggungjawab terhadap produksi pertandingan termasuk lokasi, pentas serta aspek keselamatan di tapak acara.

Pada masa sama, MUO berkata pihaknya menanggung kos rawatan Gabrielle di Thailand dan rawatan susulan di Jamaica, selain pernah menawarkan kepadanya peranan sebagai duta muhibah.

Gabrielle bagaimanapun masih dalam proses pemulihan dan kembali ke pentas Miss Universe Jamaica pada Ogos lalu untuk menobatkan penggantinya. - Gempak

Must Watch Video

Advertisement