KUALA LUMPUR:Seluruh rakyat khususnya ahli Parti Amanah Negara (Amanah) diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengguriskan hati mana-mana pihak menjelang majlis menghadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, pihaknya yakin Yang di-Pertuan Agong cukup arif dalam menguruskan perkara ini.

"Amanah juga menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan dalam hal ini.

"Pimpinan Amanah akan bermesyuarat bagi menentukan arah tuju parti buat masa ini dan akan datang dengan penuh berhemah," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

BACA: 13 Oktober, tragedi atau kejayaan untuk Anwar?

BACA: Kenyataan penuh Anwar Ibrahim pada sidang media khas


Anwar dijadualkan menghadap Yang  di-Pertuan Agong pada Selasa dan mempersembahkan jumlah sokongan yang beliau dakwa kukuh dan meyakinkan untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Dalam masa sama, Mohamad turut mengingatkan ahli-ahli partinya agar terus mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan peningkatan kes COVID-19 mutakhir ini.

"Jumlah kes positif baharu terus meningkat. Justeru perlulah kita semua mematuhi SOP dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana kita belum menang dalam melawan musuh yang tidak nampak ini," katanya lagi.

BACA: Bukan kerajaan 'back door' - Anwar