KLANG: Parti Amanah Negara (Amanah) meluluskan empat usul pada Konvensyen Nasional Amanah 2023 yang berlangsung di salah sebuah hotel di sini pada Ahad.

Empat usul berkenaan ialah membanteras pemikiran takfiri dan fitnah, persempadanan semula kawasan pilihan raya, solidariti bersama rakyat Palestin dan menggesa kerajaan segera meluluskan Rang Undang-undang (RUU) profesion pekerja sosial.

Kesemua usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti perwakilan yang hadir.

Usul membanteras pemikiran takfiri dan fitnah dibawa Amanah Kawasan Kubang Pasu, manakala usul persempadanan semula kawasan pilihan raya pula dibawa oleh Amanah Selangor.

Sementara itu, usul solidariti bersama rakyat Palestin dan menggesa kerajaan segera meluluskan RUU profesion pekerja sosial pula masing-masing dibawa oleh Wanita Amanah (AWAN) Nasional dan Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Secara keseluruhan lapan perwakilan mengambil bahagian dalam perbahasan empat usul tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Usul, Khalid Abdul Samad berkata, secara keseluruhan sebanyak 89 usul diterima.

Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak 21 usul diterima tanpa bahas dan 19 usul ditolak, manakala 40 usul diterima sebagai cadangan.

Konvensyen yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat menjadi tumpuan susulan akan diadakan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023-2026.

Mohamad dan Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof antara yang akan merebut jawatan dalam pemilihan kali ini. - Sinar Harian