KLUANG: Dua beranak dijatuhkan hukuman denda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen Kluang pada Khamis, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjual kotak TV android yang tidak diperakui, dua tahun lalu.

Hakim Mujib Saroji menjatuhkan hukuman itu terhadap Tay Wee Hwa, 60, dan anak lelakinya, Tay Eng Guan, 30, sejurus pengakuan dibuat.

Pihak mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara dua tahun dikenakan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menjual dua unit kotak TV android box jenama Eplay, bagi maksud memintas langkah perlindungan teknologi yang disebut dalam Subseksyen 36A(3) Akta Hak Cipta (AHC) 1987.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 12.55 tengah hari, bertempat di premis Wee Seng Electronic Service Center, Jalan Dato Sulaiman Mohd Nor, Kluang Baru, dalam daerah Kluang.

Mengikut fakta kes, peranti tersebut menawarkan kandungan saluran Astro yang tidak diperakui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razli, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Tay Wee Hwa merayu hukuman denda minimum dikenakan keatasnya memadangkan dia perlu menjaga seorang bapa yang menghidapi penyakit kanser dan perlu menanggung kos rawatannya di hospital swasta.

Dalam pada itu, anaknya, Eng Guan pula memohon hukuman yang minimum, atas alasan ia merupakan kesalahan pertama yang dilakukannya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berat dijatuhkan, dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan tahap keseriusan kes.

Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1)(ha) Akta Hakcipta 1987 dan turut disiasat mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, seseorang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM40,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.