ANKARA: Lima hari selepas insiden kebakaran di Turki, angka korban terus meningkat.

Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca berkata dua lagi kematian dilaporkan di bandar Manavgat manakala 10 mangsa lagi sedang menerima rawatan di hospital.

Lebih 100 insiden kebakaran hutan dikesan pihak berkuasa Turki dalam tempoh lima hari terakhir.

Menteri Perhutanan, Bekir Pakdemirli berkata api masih marak di Manavgat dan Marmaris serta Milas.

Ia memaksa penuduk setempat mengosongkan kawasan kediaman bagi tujuan keselamatan.

Sebelum ini, korban dilaporkan lima di Manavgat manakala seorang lagi di Marmaris.

Usaha sedang dilakukan untuk memadamkan enam kebakaran di Turki.

Penduduk tempatan serta pasukan sokongan dari Rusia, Ukraine, Iran dan Azerbaijan dikerahkan untuk membantu anggota bomba memadamkan kebakaran.

Kerajaan Turki berjanji untuk membina semula rumah yang rosak dan mengimbangi kerugian di kawasan terjejas.

Sekurang-kurangnya 13 pesawat, 45 helikopter dan dron serta 828 kenderaan pemadam kebakaran terlibat dalam usaha memadam kebakaran.

Kesatuan Eropah turut membantu menggerakkan tiga pesawat pemadam kebakaran pada Ahad.