JOHOR BAHRU: Angkara dendam, seorang lelaki cedera setelah ditetak dalam satu kejadian di Jalan Scientex Jaya, Taman Scientex, Senai, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata pihak polis menerima panggilan daripada MERS 999 pada pukul 7.50 malam, mengenai kejadian pergaduhan bersenjatakan parang.

Beliau berkata mangsa berusia 27 tahun itu, ditetak di bahagian bahu, kedua belah tangan dan kaki dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah.

"Keadaan mangsa stabil," kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian itu, Tok berkata pihaknya telah menemukan kereta Honda Accord putih yang dipercayai terlibat dalam insiden itu pada pukul 3.40 pagi tadi.

Ketika itu, kereta berkenaan dipandu seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah stesen minyak di Taman Aman, Senai dan hasil pemeriksaan menjumpai sebilah parang dalam kereta tersebut.

"Kemudian datang seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ke situ dan kedua-duanya ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Kulai untuk siasatan lanjut," katanya.

Tok berkata sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kulai, kemudiannya telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Senai menangkap seorang lagi lelaki berusia 34 tahun bagi siasatan lanjut.

Hasil semakan mendapati dua lelaki tersebut mempunyai rekod jenayah lampau dan penyalahgunaan dadah.

"Polis turut membuat rampasan iaitu sebilah pisau, dua rangkai kunci kereta, dua buah kereta Honda Accord, dua helai t-shirt dan dua helai seluar jeans bagi membantu siasatan.

"Kesemua yang ditahan direman empat hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun penjara atau denda atau dengan sebat," katanya.

-- BERNAMA