KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merakamkan penghargaan atas penganugerahan Merit Ibn Khaldun Bagi Transformasi Sosial Peringkat Global 2020 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan negara.

Dalam catatan di laman Facebooknya, beliau merafak sembah menjunjung kasih atas keberangkatan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyempurnakan majlis itu di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM) hari ini.

Beliau berkata pengurniaan anugerah itu menandakan perjuangan tanpa henti petugas barisan hadapan dalam menjaga kesejahteraan dan keselamatan negara.

"Saya dengan rendah hati menerima Anugerah Merit Ibn Khaldun Bagi Transformasi Sosial Peringkat Global bagi pihak semua agensi perubatan dan keselamatan yang memikul tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan, sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan usaha cekal mereka dalam menangani situasi pandemik COVID-19.

"Sesungguhnya, para petugas barisan hadapan telah melakukan suatu usaha yang luar biasa selama menghadapi tempoh pandemik ini dan seterusnya," katanya.

Dr Noor Hisham berkata semua pasukan barisan hadapan sektor kesihatan dan keselamatan memainkan peranan penting dan utama dalam menasihati kerajaan serta Majlis Keselamatan Negara untuk memastikan wabak itu dikendalikan secara sistematik, terkawal dan berjaya dibendung.

"Kami melakukan apa yang sepatutnya untuk negara, kami buat apa yang sepatutnya untuk melindungi negara dan mencegah lebih banyak kesan buruk akibat pandemik ini. Kita harus ingat bahawa kesihatan dan keselamatan setiap orang harus menjadi tanggungjawab bersama.

"Kami percaya bahawa kami tidak boleh melakukannya tanpa sokongan orang ramai. Kita juga tidak harus melupakan pengorbanan yang dilakukan setiap ahli keluarga petugas barisan hadapan," katanya.

Sementara itu, UIAM dalam kenyataan memaklumkan penganugerahan itu bagi menghargai jasa dan usaha petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memutuskan rantaian COVID-19 sejak tahun lepas hingga sekarang.

Anugerah Merit Ibn Khaldun UIAM, yang diperkenalkan pada 2018, adalah bagi mengiktiraf organisasi yang menerajui serta menyumbang kepakaran atau kerja kebajikan untuk masyarakat tanpa mengharapkan pulangan wang.

Ini merupakan kali ketiga anugerah itu diberikan dengan penerima sebelum ini ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang pada 2018 dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pada 2019.

-- BERNAMA