RIYADH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di rantau Asia Barat bagi memberikan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan rejim Zionis.

Perkara itu dimaklumkan oleh Anwar kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani semasa kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini pada Isnin.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada Qatar atas peranan negara itu membantu usaha membawa keluar rakyat Malaysia Nurul Ain Haron dari Gaza pada November 2023.

Nurul Ain bersama suaminya, Mohamed AM Shaat yang juga warga Palestin, selamat tiba di Malaysia pada 14 Nov 2023 selepas dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah.

Anwar juga menyatakan sokongan terhadap peranan Qatar sebagai pengantara dalam isu Palestin.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia turut terbabit dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Setakat ini, Malaysia telah menerbangkan 100 tan barangan bantuan ke kawasan yang dilanda konflik itu, 20 tan lagi dihantar menerusi jalan laut manakala 1,500 tan diagih melalui badan bukan kerajaan.

Anwar juga memaklumkan rakan sejawatnya itu bahawa beliau akan berkunjung ke Doha bagi menghadiri Forum Ekonomi Qatar pada pertengahan bulan depan.

Perbincangan kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai peluang meningkatkan pelaburan di Malaysia dan Qatar selain melonjakkan hubungan perdagangan kedua-dua negara yang kini bernilai US$910 juta (RM4.34 bilion).

-- BERNAMA