MANILA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Manila, Filipina.
Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino berkata, Anwar dijadual tiba di Manila pada Sabtu dan akan diiringi isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurut beliau, bagaimanapun, Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Malaysia pada petang Isnin bagi menyambut lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada keesokkan harinya.
"Beliau kemudian akan kembali ke Manila pada petang hari sama bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) Ke-12 serta majlis makan malam yang dihoskan Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr," katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Abdul Malik memberitahu, secara keseluruhan, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan merangkumi 10 sidang kemuncak, tiga sesi libat urus dan satu mesyuarat pemimpin.
"Pada Ahad ini, Perdana Menteri dijadual menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 yang merangkumi Sesi Pleno dan Sesi Pemukiman, selain tiga sesi libat urus bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan Belia ASEAN.
"Pada keesokkan harinya, beliau (Anwar) akan menyertai empat sidang kemuncak bersama rakan dialog, iaitu ASEAN-China Ke-29, ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-16, ASEAN-Australia Ke-6 dan ASEAN-Republik Korea Ke-27.
Sementara itu, kata beliau, Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia bagi beberapa mesyuarat pada 17 November, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) Ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Karbon Sifar Asia (AZEC) Ke-4, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun Ke-29, ASEAN-India Ke-23 dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-21.
Anwar juga dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari negara anggota ASEAN di sela-sela sidang kemuncak berkenaan.
Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 berlangsung, empat mesyuarat peringkat menteri akan diadakan pada Sabtu termasuk Konsultasi Tidak Rasmi Lanjutan mengenai Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Ke-32 dan Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN Ke-39.
Penyertaan Malaysia pada sidang kemuncak itu penting bagi memelihara kepentingan negara selain memperkukuh peranan aktif Malaysia dalam menentukan hala tuju masa depan ASEAN.
Penglibatan pada peringkat tertinggi itu turut membolehkan Malaysia menyumbang kepada perbincangan dan pembentukan dasar serantau merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya yang memberi kesan langsung kepada negara dan rantau ini.
Sidang kemuncak berkenaan juga menjadi platform strategik untuk Malaysia berinteraksi secara langsung dengan pemimpin negara anggota ASEAN dan rakan dialog, selain memperkukuh kerjasama serta hubungan dua hala dalam menangani cabaran serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 kali ini berlangsung ketika rantau Asia Tenggara berdepan landskap geopolitik yang semakin kompleks, khususnya persaingan antara kuasa besar serta ketidaktentuan ekonomi global.
Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 mengangkat tema Navigating Our Future, Together, dengan memberi penekanan kepada tiga keutamaan utama iaitu keamanan dan keselamatan, kemakmuran ekonomi serta pemerkasaan rakyat.
Justeru, tumpuan utama persidangan kali ini bukan sekadar memperkukuh hubungan antara negara anggota, tetapi juga memastikan ASEAN kekal relevan sebagai sebuah blok serantau yang mampu mempertahankan kepentingan bersama.