Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan cadangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mengajak kepada satu penyelesaian terhadap isu-isu kritikal yang berkaitan dengan negara.

Ini adalah respon pertama yang positif datangnya daripada pemimpin kanan UMNO untuk mengajak kepada satu dialog dalam penyelesaian isu-isu yang kritikal dalam negara demi mencapai Konsensus Nasional.

Beliau menerangkan bahawa beliau akan mengkajinya dengan lebih mendalam terlebih dahulu dan akan meminta Setiausaha Agung parti, Datuk Saifuddin Nasution untuk memberikan jawapan kepada Zahid sebelum menantikan keputusan yang bakal dilakukan nanti.

Ditanya adakah ini memberikan petanda kepada satu penubuhan kerajaan perpaduan, beliau berkata;

"Tiada relevannya rancangan kerajaan perpaduan ini dan saya telah pun menerangkan pandangan saya. Namun, apa yang penting disini adalah satu konsensus kepada penyelesaian isu-isu asas seperti hubungan antara agama, rasuah dan ekonomi yang begitu memberi kesan kepada negara pada belakangan kepada orang ramai pada hari ini," kata Anwar selepas menghadiri perbicaraan kes samannya terhadap blogger, Papagomo di Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada Isnin.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution menafikan ada bertemu Zahid untuk membincangkan rancangan kerajaan perpaduan.