NATIONAL
Anwar tiada masalah dengan "Himpunan Rakyat Benci Rasuah", tapi gesa bersifat adil

Anwar bercakap kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Pusat Islam UiTM Dengkil pada Jumaat.- Foto Astro AWANI/Firdaus Mohari
DENGKIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi tidak mempunyai masalah tentang penganjuran "Himpunan Rakyat Benci Rasuah" yang bakal berlangsung di ibu negara pada Sabtu.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai masalah dengan penganjuran "Himpunan Rakyat Benci Rasuah" yang akan berlangsung di ibu negara pada Sabtu.
- Anwar hairan mengapa himpunan tersebut hanya mensasarkan era pentadbiran beliau yang baru dua tahun, sedangkan banyak kes rasuah berlaku pada era sebelumnya.
- Anwar komited untuk tidak bertolak ansur dengan sebarang perbuatan rasuah dan akan terus menekan mana-mana pimpinan yang terlibat.
“Kita tak ada masalah, kebenaran sudah diberikan. Menteri Dalam Negeri sebut, cuma ada tempat yang tidak diberi kebenaran, bagi saya tak ada masalah. Nak bantah, bantahlah rasuah. Soalnya rasuah ini dibangkit ini yang sekarang, saya jadi Perdana Menteri dua tahun, apa dia masalah rasuah? Ini yang ditumpukan (penganjur).
“Bangkit soal lama … yalah sebahagian selesai, sebahagian tak mampu selesai. Bila kita bangkit soal berbilion hilang tak ada pula bersuara, tak ada pula yang sokong, malah ada yang pertahankan pula.
“Kalau kamu orang kaya (ambil rasuah) berbilion ringgit, ramai penyokong pertahan. Sekarang kata nak lawan rasuah. Saya komited, kalau ada mana-mana pimpinan yang terlibat bagi tahu, tak ada masalah, kita tekan mereka,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Pusat Islam UiTM Dengkil pada Jumaat.
Media sebelum ini melaporkan Perhimpunan Rakyat Benci Rasuah itu adalah susulan perhimpunan Ambang Tahun Baharu pimpinan pelajar di Sabah yang membantah ahli politik negeri terbabit didakwa terlibat dalam skandal rasuah.
Himpunan berkenaan akan berkumpul di hadapan pusat membeli-belah Sogo sebelum berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan akan berakhir di Dataran Merdeka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami