NATIONAL
Anwar tukar peguam kes saman sivil Yusoff Rawther

Anwar menafikan dakwaan dibuat terhadapnya, dan memfailkan tuntutan balas pada September 2021, menyatakan bahawa tuduhan berkenaan adalah palsu dan tidak berasas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar peguam yang mewakilinya dalam kes saman sivil difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi di sini, minggu lalu.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar peguam dalam kes saman sivil oleh Muhammed Yusoff Rawther dan memohon Mahkamah Tinggi merujuk persoalan undang-undang berkaitan imuniti Perdana Menteri ke Mahkamah Persekutuan.
- Permohonan itu turut disertai permintaan untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada Jun, sementara menunggu keputusan isu perundangan tersebut.
- Muhammed Yusoff mendakwa berlaku serangan seksual pada 2018 dan menuntut ganti rugi, manakala Anwar menafikan tuduhan itu dan memfailkan tuntutan balas, menyifatkan dakwaan sebagai palsu dan tidak berasas.
Menurut Rafique, pihak defendan turut memohon agar perbicaraan yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 19 dan 23 hingga 25 Jun depan ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.
“Memandangkan isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan undang-undang, mahkamah telah mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan dengan segera. Permohonan akan didengar pada 3 Jun ini,” katanya.
Mahkamah turut mengarahkan semua pihak berhujah berhubung peruntukan undang-undang berkaitan kekebalan atau imuniti yang dimiliki oleh seorang Perdana Menteri.
Rafique turut menegaskan bahawa pihaknya komited untuk mempertahankan hak anak guam secara terbuka.
“Akses kepada keadilan adalah hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Sebelum ini, Anwar memohon agar Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan, antaranya berkenaan imuniti beliau dalam kes saman sivil berkenaan.
Beliau juga memohon mahkamah mempertimbangkan sama ada saman itu menjejaskan tugas eksekutifnya dan prinsip pengasingan kuasa, serta hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan.
Dalam pernyataan tuntutan, Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual terhadapnya berlaku di kediaman Anwar di Segambut pada 2 Oktober 2018, selepas diminta hadir oleh Setiausaha Sulit Anwar bagi menyerahkan teks ucapan.
Beliau mendakwa laporan polis dibuat pada 7 Disember 2019 dan kesihatan mentalnya terjejas akibat kritikan daripada penyokong Anwar serta masyarakat.
Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan memfailkan tuntutan balas pada September 2021, menyatakan bahawa tuduhan berkenaan adalah palsu dan tidak berasas.
Menurut Anwar, pada tarikh kejadian yang didakwa, beliau sedang bersama keluarga dan rakan-rakan di kediamannya di Bukit Segambut. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami