JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dilihat telah mula menawarkan kemas kini baharu untuk pengguna aplikasi MyJPJ di Android dan iOS, sekaligus bersama-sama dengannya ia menyertakan antaramuka yang serba baharu.
Pada halaman utama, kini ia menyertakan akses kepada beberapa menu utama termasuk untuk semakan saman dan eAduan, selain untuk sejumlah pengumuman berkaitan JPJ.
Advertisement
Menu akses pantas ke Peti Masuk turut disertakan untuk melihat pelbagai notifikasi semasa melibatkan akaun anda, selain menu direktori dan juga menu profil.
Pada bahagian utama juga, aplikasi MyJPJ turut mengetengahkan akses kepada sokongan perbualan secara permesejan melalui FIFI AI Chatbot.
Namun, daripada ujian kami, FIFI AI Chatbot masih belum pintar dalam menjawab sejumlah persoalan melibatkan akaun pengguna, dan sering meminta pengguna rujuk laman rasmi JPJ.
Bagi anda yang ingin mencuba antaramuka baharu ini, anda boleh memuat-turun dan mengemas kini aplikasi MyJPJ hari ini di Google Play Store dan Apple App Store, dan mencubanya sendiri.