NATIONAL
AREC 2025 fokus isu urbanisasi, jamin anak Malaysia ada kediaman berdaya huni

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) menghadiri Majlis Pratonton Acara Perniagaan Seni Bina, ARCHIDEX 2025 di Crowne Plaza KL City Centre pada Khamis.
KUALA LUMPUR: ASEAN Real Estate Conference (AREC) 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre dijangka mengumpul lebih 8,000 pemain industri penting seperti arkitek, pemaju dan penggubal dasar dari serata dunia untuk bersama menangani isu urbanisasi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata perkara itu selaras dengan pelan kementeriannya yang akan mengetengahkan Akta Pembaharuan Semula Bandar ketika persidangan Parlimen pada Jun kelak.
Menurut Kor Ming, kupasan pakar seni bina dalam konvensyen pada 10 hingga 15 Ogos itu diharap dapat memacu pertumbuhan bandar raya di Malaysia serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Kita serius dan komited dalam inisiatif ini, kemiskinan bandar bukan sekadar masalah sosial. Ia juga satu masalah kronik ekonomi. Perhatikan saja keadaan menyedihkan sesetengah flat PPR di ibu kota."Oleh itu, sangat mustahak untuk kita pastikan setiap anak Malaysia dapat menduduki kediaman yang berdaya huni, selesa dan selamat.
"Ini impian saya dan saya percaya impian kita semua juga," katanya ketika berucap dalam Majlis Pratonton Acara Perniagaan Seni Bina, ARCHIDEX 2025 di ibu negara pada Khamis.
Selain itu, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN ke-8 dari 8 hingga 12 September 2025.
Perjumpaan ini akan mengumpul wakil dari 34 bandar di seluruh Malaysia termasuk Ipoh, Putrajaya dan Seberang Perai.
Perbincangan menumpukan kepada penyelarasan pertumbuhan bandar dengan teknologi pintar serta menghubungkan kota di seluruh ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami