ISKANDAR PUTERI: Arkib Negara Malaysia (ANM) sedang membangunkan sistem pengurusan rekod dan arkib digital yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan akses dan carian bahan sejarah negara.
Ketua Pengarah ANM Zaidin Mohd Noor berkata sistem dikenali sebagai Digital Record and Archives Management Systems (D-ReAMS) itu dijangka siap pada 2027 bagi menggantikan sistem sedia ada, COMPASS.
Beliau berkata penggunaan AI membolehkan pengguna bukan sahaja membuat carian berdasarkan kata kunci, malah mendapatkan ringkasan mengenai sesuatu peristiwa sejarah berdasarkan bahan arkib.
“D-ReAMS ini kita akan menggunakan ciri-ciri yang ada berkaitan dengan AI supaya memudahkan akses, carian dan maklumat berkaitan dengan sesuatu isu,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor dan Pelancaran Buku “Legasi Mufti-Mufti Johor 1896-1999” di sini pada Rabu.
Zaidin berkata sistem itu turut berupaya menghasilkan ringkasan sejarah berdasarkan bahan arkib berbentuk audiovisual.
Dalam pada itu, beliau berkata ANM telah mendigitalkan lebih 11 juta imej rekod termasuk fail dan bahan audiovisual sejak usaha pendigitalan dimulakan pada 1996.
Koleksi audiovisual ANM merangkumi rakaman peristiwa, sejarah lisan, pengisahan sejarah, wawancara, konvensyen, bengkel dan seminar dalam pelbagai format termasuk gambar foto, kaset, pita sistem video rumah (VHS), piring hitam, cakera padat, cakera video digital dan betacam.
“ANM turut menjalin kerjasama dengan beberapa negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri Perak bagi mendigitalkan rekod berkaitan institusi keagamaan,” katanya.
Di Johor, usaha pendigitalan sebahagian rekod Setiausaha Kerajaan Negeri dilaksanakan dari 2020 hingga 2023, termasuk rekod berkaitan Majlis Agama Islam dan institusi mufti.
-- BERNAMA