Ringkasan AI
- Empat ekor rusa sambar dilepaskan di Taman Negeri Royal Belum sebagai sumber makanan Harimau Malaya kerana saiznya lebih besar dan nutrisi lebih baik.
- Babi hutan masih menjadi sumber makanan Harimau Malaya, namun populasinya berkurangan akibat penularan Demam Babi Afrika (ASF).
- Pelepasan haiwan buruan diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pemuliharaan Harimau Malaya dan habitat semula jadinya.
IPOH: Rusa sambar dilepaskan sebagai sumber makanan Harimau Malaya di Taman Negeri Royal Belum, Gerik berikutan saiz fizikalnya yang lebih besar berbanding babi hutan, sekali gus mampu membekalkan sumber nutrisi lebih baik kepada pemangsa berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Dr Fazil Abdul Patah berkata mamalia itu mempunyai anggaran berat antara 150 hingga 180 kilogram (kg) seekor berbanding babi hutan, iaitu hanya sekitar 80 kg.
“Babi hutan tetap menjadi antara sumber makanan Harimau Malaya di Taman Negeri Royal Belum. Pelepasan babi hutan boleh dilaksanakan oleh pihak berkaitan tanpa halangan, cuma populasinya agak berkurangan sebelum ini akibat penularan Demam Babi Afrika (ASF).
“Bagaimanapun, pelepasan itu perlu melalui analisis darah oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri bagi memastikan babi hutan berkenaan bebas daripada penyakit, termasuk ASF,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Pada 21 Nov, pelepasan empat ekor rusa sambar di Taman Negeri Royal Belum mendapat perhatian pengguna media sosial, sekali gus mencetuskan perbincangan pelbagai pihak yang mempersoalkan kerelevanan haiwan itu sebagai sumber makanan pemangsa berbanding babi hutan.
Fazil ketika mengulas mengenai kemungkinan berlaku kerosakan hutan atau gangguan terhadap ekosistem sekiranya babi hutan dilepaskan dalam jumlah besar berkata rekod sebelum penularan wabak ASF pada 2023 menunjukkan tiada kesan sedemikian berlaku di lokasi itu.
“Sebaliknya, populasi babi hutan di kawasan itu sebelum ini mampu menyediakan sumber makanan mencukupi untuk menampung keperluan Harimau Malaya,” katanya.
Selain itu, beliau berkata usaha menambah sumber makanan Harimau Malaya menerusi pelepasan haiwan buruan itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemuliharaan spesies berkenaan serta habitat semula jadinya.
-- BERNAMA