NATIONAL
ASEAN bukan sekadar ‘Talk Shop’ - Penganalisis

ASEAN bukan sekadar medan perbincangan sebaliknya sebuah blok serantau yang semakin proaktif - Foto Liaoning University
KUALA LUMPUR: ASEAN kini berada di landasan baharu yang menunjukkan ia bukan lagi sekadar medan perbincangan, sebaliknya sebuah blok serantau yang semakin proaktif dalam mencari penyelesaian bersama terhadap isu-isu serantau.
Profesor Emeritus Datuk Dr. Woo Wing Thye, dari Universiti Malaya dan Sunway University, berkata persepsi bahawa ASEAN hanyalah “talk shop” adalah tidak sewajarnya kerana organisasi itu tidak direka bentuk untuk bertindak seperti kerajaan yang mempunyai kuasa mutlak ke atas negara anggotanya.
“ASEAN, sama seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak mempunyai kuasa untuk memaksa. Ia wujud berdasarkan kerjasama, dengan menghormati sepenuhnya kedaulatan negara anggota,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa peranan ASEAN sebagai platform dialog telah berkembang, terutamanya selepas krisis kewangan Asia pada akhir 1990-an, apabila keperluan untuk penyelesaian serantau yang konkrit semakin mendesak.Contohnya, dalam isu perubahan iklim, semua negara ASEAN telah menandatangani Perjanjian Iklim Paris dan komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih. Bagaimanapun, Dr. Woo menegaskan bahawa usaha ini memerlukan tindakan kolektif, bukan hanya dasar domestik.
“Sukar untuk setiap negara menjadi kendiri dalam penghasilan tenaga hijau. Kos penghasilan tenaga solar di Singapura jauh lebih tinggi daripada di Malaysia. Jadi, kita perlukan Grid Kuasa ASEAN — satu jaringan serantau bagi membolehkan tenaga dijana di tempat paling efisien dan diagihkan ke seluruh rantau,” katanya dalam buletin khas Astro AWANI.
Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menyaksikan negara-negara anggota memberi mandat kepada Pusat Tenaga ASEAN untuk merangka pelan tindakan ke arah merealisasikan Grid Kuasa ASEAN. Langkah ini merupakan satu tindakan konkrit yang memperlihatkan ASEAN kini serius bergerak ke fasa pelaksanaan dasar dan bukan sekadar berbincang.
Dalam pada itu katanya, kejayaan ASEAN menandatangani Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan lima rakan dagang utama dunia merupakan bukti kukuh bagaimana ASEAN sebagai satu blok telah menjadi pemain ekonomi yang serius di peringkat antarabangsa.
Dr. Wing Thye turut berpadapat bahwawa, dengan elbagai inisiatif berskala besar sedang digerakkan, beliau yakin ASEAN memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan rantau ini dan bukan dilihat sekadar sebagai pentas perbincangan, malah sebagai kuasa kolektif yang efektif.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami