MALAYSIA
ASEAN iktiraf usaha utusan khas mengenai Myanmar, tegaskan komitmen 5PC

Othman, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dilantik sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar semasa Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi pada 19 Jan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Luar ASEAN memuji usaha gigih Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim dalam melaksanakan mandatnya, khususnya menerusi pendekatan libat urus inklusif dengan pelbagai pihak berkepentingan di Myanmar.
Ringkasan AI
- ASEAN memuji pendekatan inklusif Tan Sri Othman Hashim dalam melaksanakan mandat sebagai Utusan Khas ASEAN mengenai Myanmar.
- ASEAN menegaskan 5PC kekal sebagai rujukan utama dalam menangani krisis Myanmar dan merancang semakan serta strategi baharu demi kelangsungan mandat.
- Para menteri mengecam keganasan terhadap orang awam dan menyeru semua pihak agar mewujudkan persekitaran selamat bagi dialog kebangsaan dan penyampaian bantuan.
"Penglibatan inklusif ini mencerminkan komitmen ASEAN terhadap usaha kolaboratif dalam menangani cabaran kompleks di Myanmar," menurut kenyataan itu.
Othman, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dilantik sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar semasa Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi pada 19 Jan.
Beliau merupakan utusan khas kelima yang dilantik sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 hingga mencetuskan krisis politik dan kemanusiaan di negara itu.
Sementara itu, para menteri menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan konflik dan situasi kemanusiaan di Myanmar, serta menggalakkan kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui oleh Pemimpin ASEAN.
Mereka sekali lagi menegaskan pendirian bersama bahawa 5PC kekal sebagai rujukan utama dalam menangani krisis politik di Myanmar, serta memperkukuh komitmen terhadap keputusan-keputusan yang dibuat oleh para Pemimpin ASEAN sebelum ini.
"Kami akan melaksanakan semakan menyeluruh terhadap pelaksanaan 5PC dan mengemukakan cadangan kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
"Kami juga bersetuju untuk menugaskan Pegawai Kanan ASEAN meneroka strategi baharu bagi memastikan kesinambungan peranan Utusan Khas ASEAN mengenai Myanmar," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, para menteri mengecam tindakan keganasan berterusan terhadap orang awam dan kemudahan awam di negara itu.
Mereka menggesa semua pihak berkaitan agar segera mengambil tindakan konkrit menghentikan keganasan, mengamalkan tahap kawalan tertinggi, melindungi keselamatan orang awam dan infrastruktur awam, serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi penyampaian bantuan kemanusiaan dan dialog kebangsaan yang inklusif.
Para Menteri turut mengalu-alukan kemajuan berterusan dalam penyampaian bantuan kemanusiaan kepada Myanmar oleh Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan mengenai pengurusan bencana (AHA Centre), selaras dengan Perkara Keempat dalam 5PC.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami