Skip to main content

Malaysia

ASEAN perlu sepakat tangani konflik global, jaminan makanan - Mohamad Hasan

SEREMBAN, 9 April -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media pada majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad berkata, mesyuarat itu penting bagi membolehkan negara-negara anggota ASEAN menyelaraskan pendirian terhadap beberapa isu geopolitik yang memberi kesan langsung kepada rantau ini. - Gambar fail
Advertisement

REMBAU: Ketegangan di Laut China Selatan, konflik berterusan di Asia Barat serta usaha memperkukuh jaminan keselamatan makanan serantau antara agenda utama yang akan dibawa Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Manila, Filipina bermula esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat itu penting bagi membolehkan negara-negara anggota ASEAN menyelaraskan pendirian terhadap beberapa isu geopolitik yang memberi kesan langsung kepada rantau ini.

“Banyak agenda ASEAN yang perlu dibincangkan pada kali ini, termasuk ketegangan di Laut China Selatan, perang melibatkan Amerika, Israel dan Iran serta pembunuhan yang tidak henti-henti terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Sekarang konflik itu sudah merebak sehingga ke selatan Lubnan, ASEAN perlu mengambil pendirian kerana walaupun peperangan berlaku jauh, kesannya banyak juga (dirasai) oleh negara kita,”katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kelab Tuanku, di sini petang Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia juga akan mengangkat cadangan memperkukuh keterjaminan makanan ASEAN, khususnya bekalan beras, memandangkan ia merupakan makanan ruji majoriti penduduk di rantau ini.

Beliau berkata, negara-negara anggota perlu memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam pengeluaran makanan bagi mengurangkan persaingan sesama sendiri dan mewujudkan sistem bekalan yang lebih mampan.

“Kita mahu membincangkan ASEAN Food Security dan jaminan bekalan beras kerana masyarakat ASEAN menjadikan beras sebagai makanan ruji.

“Jadi kita nak supaya ada satu dasar kejaminan makanan ASEAN terutamanya bekalan beras di negara, Siapa yang boleh keluarkan beras, siapa boleh keluarkan itu dan ini, jadi kita tak perlu bersaing.

Selain itu, Mohamad berkata, kerjasama dalam pembangunan ASEAN Power Grid turut menjadi antara fokus mesyuarat bagi memperkukuh rangkaian bekalan tenaga di rantau ini.

Menurut beliau, inisiatif itu membolehkan tenaga elektrik yang dijana negara seperti Vietnam, Laos dan Kemboja disalurkan ke negara lain termasuk Malaysia dan Singapura, sekali gus memperkukuh keselamatan tenaga serantau.
 

Must Watch Video

Advertisement