MALAYSIA
ASEAN terus desak Myanmar laksana sepenuhnya Konsensus Lima Perkara - Mohamad

Mohamad berucap pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Sahabat Pengantaraan PBB sempena Sesi ke-80 UNGA di New York, 25 Sept 2025. --fotoBERNAMA
NEW YORK: ASEAN akan terus mendesak Myanmar supaya melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara serta menyokong peranan Utusan Khas dalam memudah cara dialog antara semua pihak berkepentingan bagi memulihkan laluan ke arah perdamaian nasional.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata usaha ini sentiasa diperjuangkan negara-negara anggota ASEAN.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Sahabat Pengantaraan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang diadakan bersempena Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di sini pada Khamis.
Myanmar terjerumus dalam krisis politik dan kemanusiaan berpanjangan sejak tentera menggulingkan kerajaan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pada 1 Feb 2021.Pada April tahun sama, pemimpin ASEAN mengadakan mesyuarat tergempar dan menerima pakai Konsensus Lima Perkara yang antara lain menuntut menghentikan keganasan segera, penglibatan dalam dialog membina dengan semua pihak berkepentingan demi memulihkan keamanan dan kestabilan, serta membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Myanmar.
Mengenai ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand, Mohamad berkata ASEAN akan terus melibatkan kedua-dua negara jiran itu dalam dialog bermakna serta memastikan mereka memenuhi peranan dalam gencatan senjata.
"Sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, kami diminta untuk bertindak balas dan menyelesaikan ketegangan sempadan antara Kemboja dan Thailand.
"Kita menyasarkan penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN bagi memastikan ketelusan di lapangan," katanya.
Kedua-dua negara jiran itu berdepan konflik berdekad-dekad lamanya berhubung wilayah di sepanjang sempadan bersama sepanjang 817 kilometer.
Pertikaian itu, yang memuncak pada 24 Julai lalu apabila kedua-dua pihak berbalas tembakan, berakhir pada 28 Julai selepas Kemboja dan Thailand mencapai persetujuan dalam mesyuarat khas yang dianjurkan Malaysia di Putrajaya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami