NATIONAL
ASEAN25: PM Anwar, Li Qiang sepakat perkukuh kerjasama strategik

Menurut Anwar, kerjasama erat ini amat bermanfaat buat Malaysia, China dan seluruh ASEAN - Gambar FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia dan China bersetuju untuk terus memperkukuh kerjasama strategik melalui platform Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang berlangsung di ibu negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, persetujuan itu dicapai menerusi sebuah pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri China, Li Qiang.
"Dalam sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, saya telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri China Li Qiang, dan menzahirkan penghargaan atas komitmen tinggi Republik Rakyat China memperkukuh kerjasama serantau di masa hadapan.
"Kami senada untuk terus mempertingkat kerjasama strategik, khususnya melalui platform Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang berlangsung di Kuala Lumpur ini," beliau berkata demikian menerusi kenyataan media pada Isnin.Antara bidang tumpuan termasuk ekonomi, industri halal, perdagangan, pengangkutan terutamanya berkaitan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tenaga hijau serta pembangunan teknologi kecerdasan buatan.
Ujar Anwar, kerjasama erat itu amat bermanfaat buat Malaysia, China dan seluruh ASEAN dan berharap sidang kemuncak berkenaan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi rantau secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Anwar juga merakamkan penghargaan Malaysia terhadap sokongan China dalam usaha meningkatkan solidariti dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global.
"Saya turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan Malaysia terhadap sokongan China dalam usaha meningkatkan solidariti dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global, yang secara tidak langsung menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di peringkat serantau dan global," jelasnya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami