JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menghulurkan bantuan wang tunai dan pakaian sekolah kepada pelajar yang terjejas dalam insiden kebakaran sebuah blok asrama lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan di Segamat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata bantuan wang tunai RM100 dan dua pasang baju sekolah diberikan kepada 30 pelajar selepas peralatan serta barangan peribadi mereka rosak dan musnah dalam kebakaran itu.

Bagaimanapun beliau berkata kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan semua penghuni asrama yang terjejas kini ditempatkan sementara di surau Blok B.

"Pihak sekolah telah menghubungi ibu bapa dan penjaga pelajar yang terlibat serta membenarkan mereka pulang... justeru, bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh pelajar, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersetuju memberikan bantuan tersebut," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Norlizah, yang melawat sekolah itu semalam, berkata Pejabat Pendidikan Daerah Segamat dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor sedang menganggarkan kerosakan bagi tujuan penyelenggaraan.

"Pihak Jabatan Kerja Raya Bahagian Elektrik juga telah dihubungi bagi melakukan pemeriksaan pendawaian," katanya sambil menambah punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Aizad Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.58 pagi dan kebakaran tersebut memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan dua tingkat berkenaan.

-- BERNAMA