KUALA LUMPUR: Astro AWANI hari ini menafikan mengeluarkan sebarang WhatsApp yang dipercayai tular sehubungan  pelaksanaan lockdown di Selangor bermula 21 Mei sehingga 3 Jun depan.

Mesej yang tertera 'Full Lockdown in Selangor from 21 May to 3 June' itu dipercayai berkaitan lockdown seluruh Selangor itu disahkan palsu dan didapati disebar oleh individu tidak bertanggungjawab di beberapa kumpulan WhatsApp pada Rabu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terdahulu dilaporkan menyatakan kerajaan negeri terbuka kepada sebarang ketetapan yang akan diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan situasi semasa COVID-19 di negeri itu.

Menerusi akaun Twitternya pada Khamis, Amiruddin memaklumkan kekeliruan yang timbul tangkap layar yang ditularkan di media sosial.

"Saya dimaklumkan mengenai tangkap layar berita di @501Awani semasa sidang media saya semalam.

"Ingin saya terangkan bahawa PKPD yang dimaksudkan ialah PKPD UTM Skudai dan tidak ada kaitan dengan Negeri Selangor," katanya.

Ketika sidang medianya pada Rabu, Amirudin berkata sebarang tindakan yang dilakukan perlu disusuli dengan langkah-langkah susulan yang berkesan.

BACA: 'Lockdown' Selangor? Laporan berkait Dr Dzulkefly separa tepat, nyawa lebih utama - MB Selangor

Pada Rabu, Selangor menjadi negeri penyumbang terbesar kes positif COVID-19 dengan 2,252 kes berbanding Selasa 1,743 kes.


[TERKINI] Sidang Media Khas Menteri Besar Selangor I 19 Mei 2021

Ia sekali gus menjadikan Malaysia merekodkan peningkatan kes positif baharu COVID-19 tertinggi iaitu 6,075 kes berbanding Selasa sebanyak 4,865 kes dengan 47 kematian.