KUALA LUMPUR: Stesen televisyen satelit pertama negara, Astro diiktraf sebagai penerima anugerah Kecemerlangan Keseluruhan dalam CSR oleh syarikat media pada majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021.

Pengiktirafan itu dianugerahkan di atas kesungguhan yang telah diberikan oleh gergasi media negara terhadap sumbangan yang dihulurkan kepada komuniti masyarakat di negara ini melalui komitmen korporat tertamanya membabitkan pendidikan dan perkhidmatan sosial.

Astro dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin merakamkan penghargaan atas penganugerahan tersebut.
Seiring dengan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhannya, Astro berikrar akan terus komited dalam meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada rakyat Malaysia.


“Pendidikan menjadi tumpuan utama kami. Astro telah melabur RM120 juta sepanjang dekad lalu untuk ditawarkan kandungan pembelajaran seperti TV Tutor dan TVIQ serta melengkapkan lebih 10,000 sekolah dengan penyahkod Kampus Astro supaya bahawa lima juta pelajar di seluruh negara boleh mengaksesnya.

“Komitmen kami melangkaui platform kami dan kami telah juga bekerja keras untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di tiga asrama di sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak, membantu 220 pelajar menjimatkan lebih 190,000 jam perjalanan purata harian,” kata kenyataan itu.

Tahun lalu, Astro juga memperuntukan lebih 16,000 jam pengumuman perkhidmatan awam di seluruh platform untuk menguatkan topik termasuk kesihatan dan keselamatan di tengah-tengah penularan COVID-19, pemuliharaan alam sekitar, isu sosial serta perpaduan negara.

Astro juga telah menganjurkan program Kem Badminton Astro setiap tahun sejak 2012 untuk mengenal pasti dan mencungkil pemain muda.

Malah sehingga 2019, lebih 16,000 kanak-kanak telah mendapat manfaat dan terbukti berkesan memandangkan lebih 65 peratus daripada pasukan remaja kebangsaan ketika ini adalah alumni Kem Badminton Astro.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Alliance for Safe Community, Tan Sri Lee Lam Thye dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia diasaskan oleh CSR Malaysia sebagai acara tahunan bagi mengiktiraf syarikat-syarikat yang cemerlang dalam transformasi sosio-ekonomi Malaysia.