KUALA LUMPUR: Ketua polis daerah di seluruh negara diingatkan jangan jadikan 'Surat Aku Janji' tiada sebarang aktiviti judi di daerah pentadbiran masing-masing sebagai 'kertas tisu', kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob Khan berkata ini kerana ini beliau menerima maklumat bahawa ada dalam kalangan ketua polis daerah kontinjen Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila diminta untuk menghantar Task Force D7 JSJ Bukit Aman bagi mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

"Sepatutnya semua OCPD yang setiap bulan menandatangani Aku Janji tiada sebarang aktiviti judi di daerah masing-masing berpegang teguh kepada Aku Janji itu.

"Janganlah Aku Janji itu dianggap sebagai satu kertas tisu, yang tiada nilai dan tiada lagi amaran diberi," katanya kepada pemberita selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Ayob Khan meminta setiap ketua polis daerah perlu ada keselarasan antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang antara kepentingan diri serta kepentingan umum.

Ayob Khan berkata beliau ada menubuhkan task force kecil JSJ bagi memantau sebarang jenayah di seluruh kontinjen polis negeri dan daerah.

"Task force berkenaan baru ditubuhkan dan mereka ini akan turun padang memantau penugasan polis kontinjen negeri dan daerah, fokus task force ini bukan hanya judi malah semua jenis jenayah," katanya.

Beliau berkata kekurangan pemantauan dan penyeliaan di peringkat polis kontinjen negeri dan daerah menyebabkan kegiatan judi haram masih berleluasa.

"Saya akan turun secara mengejut untuk membuat pemeriksaan dan saya takkan hantar task force ke semua kontinjen dan daerah.

"Kami akan buat pemeriksaan mengejut kalau ada maklumat mereka tidak ambil tindakan dan saya akan kenakan tindakan tatatertib kepada ketua polis daerah sebab 'Aku Janji' sudah ada," katanya.

Terdahulu, bekas Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Mohd Shuhaily menggantikan Datuk Azmi Abu Kassim yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Mohd Shuhaily berkata beliau berhasrat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota yang ingin didiami dan ingin dikunjungi oleh bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga buat masyarakat di luar negara.

"Saya mengambil keseluruhan kebaikan, yang buruk dan hodoh Kuala Lumpur dan mari kita merancang bersama, menyusun strategi bersama untuk menjadikan Kuala Lumpur (bandar raya) yang hebat.

-- BERNAMA