Skip to main content

Malaysia

Ayob Khan ingatkan warga PDRM jangan gadai maruah demi wang

KUCHING, 6 Jun -- Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berucap semasa menghadiri majlis pelancaran buku ’Strengthening Integrity, Empowering The Nation: Integrity As The Foundation Of Leadership di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ayob Khan (foto) berkata setiap warga PDRM perlu sentiasa menginsafi setiap amanah dan kuasa yang diberikan akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan, bukan sahaja di dunia malah di hadapan Allah SWT. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak sesekali menggadaikan maruah dan merosakkan nama baik pasukan demi kepentingan peribadi atau habuan wang.

Sebaliknya, beliau menegaskan setiap pegawai dan anggota perlu terus mempertahankan integriti serta menjunjung amanah yang menjadi tunjang kepada institusi kepolisan.

“Jangan rosakkan pasukan ini hanya kerana kepentingan diri. Jangan jual maruah kerana wang.

“Jangan gunakan kuasa untuk menindas mereka yang lemah dan jangan sesekali lupa di sebalik setiap kuasa yang kita miliki, terdapat rakyat yang mengharapkan keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, pada Ahad.

Ayob Khan turut menegaskan integriti bukan dinilai ketika seseorang dipuji, sebaliknya ketika tiada sesiapa yang melihat setiap tindakan dilakukan.

Beliau berkata, setiap warga PDRM perlu sentiasa menginsafi setiap amanah dan kuasa yang diberikan akan dipersoalkan serta dipertanggungjawabkan, bukan sahaja di dunia malah di hadapan Allah SWT.

“Manusia mungkin tidak melihat. Ketua mungkin tidak mengetahui. Namun Allah SWT sentiasa melihat. Malaikat Raqib dan Atid sentiasa mencatat.

“Setiap amanah akan dipersoalkan. Setiap kuasa akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Pada majlis itu, Ayob Khan menyerahkan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Seri Ibrahim Darus yang akan memangku jawatan tersebut berkuat kuasa Ahad.

Sebelum ini, Ayob Khan dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 23 Jun 2023 menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Negara.

Ayob Khan dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.

Must Watch Video

Advertisement