KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2022 kerana tidak mendapat sambutan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan kajian Bank Negara Malaysia (BNM), daripada 4.9 juta individu berpendapatan rendah yang menyertai program PTV, hanya 490 individu atau 0.01 peratus yang membuat tuntutan berbanding peruntukan sebanyak RM354 juta.

Sehubungan itu, Ahmad berkata kerajaan memutuskan untuk meneruskan perlindungan sosial melalui Skim Perlindungan Nasional B40 atau Skim mySalam.

"Bank Negara Malaysia (BNM) membuat kajian daripada 8.7 juta orang yang sepatutnya menerima voucher PTV yang diuruskan 4.9 juta orang, dan tuntutan hanya 0.01 atau 490 orang yang mendapat manfaat daripada RM354 juta insurans.

"Jadi terlalu sedikit Yang dilindungi dengan PTV itu. Oleh itu, kita meneruskan mySalam (yang diperkenal) sejak 2019 melibatkan had umur 21 hingga 65 tahun dan kita beri RM8,000 untuk 45 penyakit kritikal.

"Jika masuk wad (bayaran) RM50 sehari, dengan maksimum 14 hari dengan (perlindungan) maksimum RM700," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahmad (BN-Pontian) menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanya apakah rancangan dasar jangka panjang yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kadar kemiskinan dalam kalangan B40 dikurangkan.

PTV RM75 adalah inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2022 dengan kerjasama industri insurans dan takaful yang bertujuan untuk memanjangkan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.

Menjawab lanjut, Ahmad berkata kerajaan turut meneruskan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang diwujudkan sejak 2018 melibatkan individu layak yang berusia 40 tahun ke atas.

Selain itu, beliau menambah kerajaan meneruskan bantuan khairat kematian bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Jika meninggal dunia, warisnya akan diberi RM1,000 oleh Kementerian Kewangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad sekali mengulangi pendirian bahawa kerajaan yakin dapat menoktahkan kemiskinan tegar melibatkan 130,000 ketua isi rumah pada tahun ini menerusi inisiatif-inisiatid yang sedang dilaksanakan kerajaan termasuk menerusi Belanjawan 2023.

Ujarnya, kerajaan antaranya telah meluluskan RM750 juta untuk menoktahkan kemiskinan tegar tahun ini yang disalurkan menerusi Kementerian Ekonomi.