Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara secara keseluruhannya menunjukkan penurunan setakat pukul 5 petang.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 39 kawasan merekodkan IPU sederhana.

Bacaan tertinggi dicatat di Seri Manjung iaitu 89, diikuti Pelabuhan Klang (87), Shah Alam (84), Kuala Selangor (83), Petaling Jaya dan Kuala Terengganu (82) serta Putrajaya (81).

Pada sebelah pagi, lapan kawasan mencatat IPU tidak sihat manakala 31 kawasan menunjukkan bacaan IPU sederhana.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.