BERIKUT ADALAH KENYATAAN MEDIA OLEH TAN SRI LEE LAM THYE BERHUBUNG BAJET 2015:

Belanjawan 2015 mengandungi pelbagai cadangan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan mencapai keseimbangan antara keperluan rakyat dan pembaharuan fiskal.

Tidak dapat dinafikan bahawa antara isu-isu yang paling mendesak yang dihadapi oleh masyarakat hari ini adalah kenaikan kos sara hidup, isu perumahan di bandar, pendidikan dan kebajikan sosial. Isu-isu ini perlu diberi perhatian di Belanjawan 2015 ini.

Dalam mengurangkan beban kewangan rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, belanjawan telah mengambil beberapa langkah contohnya, meluaskan skop barang yang tidak dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan atau GST dan 532 barang dijangka mengalami penurunan sehingga 4.1 peratus; cukai pendapatan individu dikurangkan antara satu hingga tiga mata peratusan serta 300,000 orang tidak lagi perlu membayar cukai dan golongan berkeluarga yang berpendapatan 4,000 ringgit sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

Sungguhpun beberapa langkah tersebut dialu-alukan sudah tentu terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan dari segi mengurangkan beban kewangan rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup.

Sebagai contohnya kerajaan harus menyediakan pelepasan cukai yang lebih kepada individu yang mempunyai anak-anak.

Ia juga harus membantu rakyat Malaysia yang bekerja dan perlu menjaga kedua ibu bapa mereka dengan memberikan lebih banyak pelepasan cukai bagi mengurangkan beban cukai mereka.

Ibu tunggal yang perlu menjaga anak dan ibu bapa mereka juga perlu diberi pelepasan cukai.

Saya berharap, selepas menjalankan permulaan yang baik dalam meneliti keperluan rakyat dalam Belanjawan 2015 ini, kerajaan perlu terus memperkenalkan lebih banyak langkah-langkah untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kerajaan perlu memperkenalkan sistem pemantauan yang berkesan untuk memastikan bahawa cadangan belanjawan dilaksanakan dengan efektif dan menguntungkan rakyat.

Apa yang penting adalah untuk memastikan tiada ketirisan dalam perbelanjaan yang merupakan masalah yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Prinsip-prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti mesti diamalkan dalam pengurusan kewangan dan pelaksanaan belanjawan.

Jenayah dan keselamatan negara adalah perkara yang amat penting.

Dalam perkara ini, saya menyokong peruntukan tambahan untuk kedua-dua Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan terutamanya di pantai timur Sabah.

Peruntukan sebanyak RM9.1 bilion kepada PDRM termasuk pengambilan lebih ramai anggota polis akan membantu untuk meningkatkan semangat dan komitmen PDRM untuk menjadikan masyarakat dan persekitaran kita lebih selamat.

Menyediakan tempat tinggal kepada polis dan meningkatkan persekitaran hidup mereka dengan menaikkan taraf tempat tinggal mereka pastinya akan mendorong mereka untuk menjalankan tugas mereka dengan lebih baik.

Saya juga bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bantuan kewangan untuk membantu keluarga miskin, kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya dimana isu ini telah lama tertangguh. Hal ini adalah selari dengan sebuah negara penyayang.

Walaupun saya menyokong bantuan yang diberikan untuk membantu lebih ramai pesakit dialisis di negara ini, saya juga menjangka kerajaan akan menyediakan peruntukan khusus untuk menyediakan lebih banyak program dan Pusat Komuniti Kesihatan Mental untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia menghadapi tekanan hidup.

TAN SRI LEE LAM THYE
AHLI LEMBAGA
PEMEGANG AMANAH
YAYASAN 1 MALAYSIA

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.