BAGAN SERAI: Penduduk tiga buah kampung di mukim Beriah, Alor Pongsu dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir disebabkan ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Beriah telah pecah hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, berkata kejadian ban pecah itu yang disedari penduduk sekitar jam 8 pagi, dijangka memberi kesan buruk kepada tiga buah kampung, jika tiada tindakan segera.

Menurutnya, kampung-kampung itu ialah Kampung Batu 6 1/2, Kampung Matang Pasir Beriah dan Kampung Tebuk Jawa Matang Pasir.

Susulan kejadian tersebut, beliau memberitahu, kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dimaklumkan dan tindakan segera akan diambil.

"Buat masa ini pihak JPS telah membuat pemantauan dan akan mengambil tindakan segera bagi membaik pulih ban yang pecah itu,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian di sini.

Hadir sama ialah Pengarah JPS Perak, Ir Baharuddin Abdullah, Jurutera JPS Kerian, Ir Amphai Eebau dan ADUN Selinsing, Mohamad Noor Dawoo.

Beliau berkata, pihak berkuasa juga bercadang untuk membuka satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu sekiranya keadaan menjadi buruk.

Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar bersedia dan menyelamatkan barangan berharga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kerana saiz ban yang pecah agak lebar.

Bagaimanapun, Sham berharap pihak JPS dapat membaik pulih ban yang pecah itu dalam kadar segera agar kejadian banjir besar seperti yang berlaku pada tahun 2003 tidak berulang.

Sementara itu, Baharuddin berkata pihak JPS akan meletakkan batu bersaiz besar di ban yang pecah bagi menghalang dan mengurangkan kelajuan air.

"Ini merupakan langkah awal untuk mengelakkan ban sedia ada terus rebak selain mengelakkan air dari terus melimpah ke kawasan penduduk,” ujarnya.