TAWAU: Seorang banduan dijatuhi hukuman penjara 20 bulan di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, kerana melarikan diri dari Pusat Kuarantin Pesakit COVID-19 (PKRC), awal bulan ini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, membuat keputusan itu selepas Jimnajir Annor, 23, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melarikan diri daripada pengawasan di Dewan Arena Tawau, pada jam 12.30 tengah malam, 5 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia juga berhadapan pertuduhan melakukan perbuatan yang boleh merebakkan jangkitan penyakit berbahaya COVID-19. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Amir Shah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan bagi pertuduhan pertama, manakala enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua dengan hukuman dijalankan secara berasingan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa polis, ASP Dayang Nur Azarinawaty Awang Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.