DHAKA: Kerajaan Bangladesh telah memohon pinjaman AS$320 juta daripada Bank Pembangunan Baharu (NDB), untuk membiayai projek yang bertujuan meluaskan liputan bekalan air dan mengurangkan kerugian sistem Pihak Berkuasa Bekalan Air dan Pembetungan Dhaka (Wasa), lapor Xinhua.

Dhaka Wasa berusaha untuk meluaskan liputan bekalan air ke kawasan-kawasan yang baharu ditambah di bandar tersebut, lapor akhbar bahasa Inggeris terkemuka Financial Express pada Rabu.

Selain itu, agensi kerajaan yang bertanggungjawab menyediakan bekalan air kepada lebih 20 juta penduduk di ibu negara tersebut berusaha meningkatkan kecekapan dengan mengurangkan kerugian sistemnya kepada kurang daripada 10 peratus, berbanding kira-kira 30 peratus pada masa ini.

Pegawai berkata kos keseluruhan projek itu dianggarkan sebanyak 41.1 bilion taka (kira-kira AS$380 juta), dengan 85 peratus (AS$320 juta) dibiayai oleh sumber luar dan bahagian selebihnya dibiayai oleh kerajaan dan Dhaka Wasa.

Walaupun permintaan air harian Dhaka adalah antara 3,000 hingga 3,200 juta liter tahun lepas, dokumen rasmi menunjukkan kapasiti pengeluaran harian Dhaka Wasa adalah sekitar 2,650 hingga 2,700 juta liter.

Selain itu, 30 peratus air bukan hasil yang besar -- air yang dihasilkan tetapi tidak diagih kepada pelanggan -- terus menjejaskan kapasiti Dhaka Wasa.

Dokumen projek mengaitkan kehilangan sistem yang ketara itu kepada kebocoran rangkaian air, sambungan haram dan pencurian.

--BERNAMA-XINHUA