PUTRAJAYA: Sebanyak 4,893.73 hektar kawasan pertanian terjejas akibat bencana banjir melibatkan 2,269 petani, serta kerugian kira-kira RM22,823,601, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Antara kawasan pertanian yang teruk terjejas akibat banjir adalah di Kelantan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan Taklimat dan Penyelarasan Situasi Bencana Terkini di sini hari ini.

Beliau berkata 51 fasiliti kesihatan turut terjejas akibat banjir iaitu 23 fasiliti di Kelantan, 17 di Pahang dan 11 di Terengganu.

Ahmad Zahid berkata sejak Monsun Timur Laut (MTL) bermula awal November lepas, seramai 62,467 mangsa dan 19,204 rumah terjejas di beberapa negeri.

Beliau berkata bantuan kepada mangsa banjir untuk MTL kali ini sedang diagihkan secara berperingkat oleh pejabat-pejabat daerah di kawasan yang terjejas.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap pejabat-pejabat daerah yang terlibat tidak pilih kasih dalam mengagihkan bantuan banjir kepada mangsa atau kawasan yang terjejas.

Dalam isu lain beliau berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) juga sedang bersiap siaga untuk menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak pada Februari hingga Mac ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid meminta supaya proses perolehan pam hidraulik dapat disegerakan bagi mengatasi masalah banjir termenung di beberapa kawasan yang sudah berakhir banjir terutamanya di Pantai Timur.

"Permintaan itu sejak Mac tahun lalu, dan saya dapat laporan pam berkenaan masih belum diserahkan kerana melibatkan prosedur perolehan.

"Pihak Nadma  telah memberikan peruntukan kepada Jabatan Saliran Dan Pengaliran (JPS) .... saya telah meminta supaya dalam keadaan tertentu dan gawat, mestilah dicari jalan sebaik-baiknya untuk penyerahan dilakukan dengan segera," katanya.

-- BERNAMA