LARUT: Hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang semalam mengakibatkan dua kampung di Batu Kurau, di sini, dilanda banjir malam tadi.

Dua kampung itu ialah Kampung Pantai Besar dan Kampung Sungai Ara.

Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Perak pagi ini, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 88 mangsa banjir dari kedua-dua kampung berkenaan.

Katanya, seramai 38 penduduk dari 16 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Rakyat As-Syabiah, Pantai Besar, kira-kira jam 10 malam tadi.

Tambahnya, 50 mangsa lagi dari 14 keluarga dipindahkan ke PPS di Dewan Serbaguna Sungai Ara yang dibuka jam 11 malam.

Sementara itu, hujan lebat yang disertai dengan ribut telah menyebabkan beberapa batang pokok di sekitar Bandaraya Ipoh tumbang dan ada yang menghalang jalan raya.

Hujan beserta ribut itu dikatakan mula melanda sejak jam 6 petang dan berterusan sehingga lebih sejam.

Antara kawasan terlibat ialah Desa Tambun, Rapat Setia Baru dan Bercham Raya.

Kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pemegang konsesi Puncak Emas Sdn Bhd dilapor telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.

Kakitangan MBI dan Puncak Emas menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.

Pada Khamis, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat dalam tempoh 24 jam di lapan daerah di Perak dan Selangor.

Di Perak, kawasan berisiko terjejas ialah Daerah Bagan Datuk (Pekan Simpang Empat serta kawasan sekitarnya), Daerah Hilir Perak (Changkat Jong serta kawasan sekitarnya), dan Daerah Perak Tengah (Pasir Salak, Pasir Panjang Hulu, serta kawasan sekitarnya).