Kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 divisyen) berkata, terbinanya jambatan terbabit memberi manfaat kepada penduduk untuk berulang alik ke sekolah dan masjid.
Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri, telah melakukan lawatan kerja ke tapak pemasangan jambatan tersebut bagi meninjau kelancaran pembinaan.
“Pemasangan Jambatan Bailey sepanjang 27.43 meter dan lebar sehingga 5.49 meter itu mampu menampung ketahanan kenderaan sehingga berat lima tan bagi satu hala.
“Seramai 3 pegawai dan 18 anggota di bawah Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) 2 divisyen terlibat membantu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kerja-kerja pemasangan jambatan yang bermula pada 7 Julai lalu.
Selain itu, seramai 6 pegawai dan 142 anggota ATM daripada pasukan Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) dan Batalion 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Mekanis (19 RAMD MEK) turut membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk kerja pembersihan rumah mangsa menjelang Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Ahad.
Muhammad Huzaimi, turut melawat tiga rumah anggota ATM di Taman Mesra Indah yang turut terjejas akibat banjir kilat terbabit.
Dalam tragedi Isnin lalu, jambatan yang menghubungkan penduduk untuk menyeberangi Sungai Kupang roboh sehingga struktur binaan itu hanyut lebih 50 meter daripada kedudukan asal akibat dibadai aliran air deras.
BACA: Banjir Baling: KPLB bina segera jambatan sementara di Kampung Iboi