KUALA LUMPUR: Persatuan Palang Merah China menyumbang sebanyak US$100,000 (RM419,500) untuk menyokong usaha Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) membantu mangsa banjir.

Sumbangan itu diserahkan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing kepada Setiausaha Agung BSMM Hakim Hamzah di Ibu Pejabat BSMM, di sini pada Jumaat.

Ouyang berkata sumbangan itu bukan hanya mencerminkan persahabatan antara rakyat China dan Malaysia,malah diharap dapat meringankan beban mangsa banjir dalam mengharungi tempoh sukar ini.

"China percaya Malaysia mampu mengharungi tempoh sukar ini dan membaik pulih semula kerosakan yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kedutaan China di Kuala Lumpur.

Ouyang, bagi pihak kerajaan China dan rakyatnya, turut mengucapkan takziah kepada mangsa banjir.

Hujan lebat mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di beberapa kawasan serta negeri di Malaysia dengan sekurang-kurangnya 41 orang dilaporkan terkorban setakat ini.

-- BERNAMA