Banjir Hat Yai: Singapura ucap terima kasih kepada Malaysia, Thailand bantu rakyatnya

Dalam satu hantaran di Facebook, Wong berkata bantuan itu telah memastikan mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyatakan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia dan Thailand atas bantuan segera yang diberikan kepada rakyat Singapura yang terkandas di Hat Yai akibat banjir.
Dalam satu hantaran di Facebook, Wong berkata bantuan itu telah memastikan mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat.
"Amat sedih dengan berita mengenai banjir teruk yang menjejaskan komuniti di seluruh Asia Tenggara. Imej kehilangan tempat tinggal dan kehilangan yang dialami amat menyayat hati. Kepada semua yang terjejas, serta para penyelamat yang berani berjuang untuk memastikan keselamatan orang lain, ingatan dan doa kami bersama anda," katanya.
Wong menambah bahawa Singapura bersedia memberikan sokongan pada bila-bila masa diperlukan.
Beliau turut berkata bahawa kejadian cuaca ekstrem ini menjadi peringatan jelas mengenai kerentanan bersama, memandangkan perubahan iklim merupakan cabaran yang tidak mengenal sempadan dan menjejaskan semua pihak.
"Ia adalah krisis global yang memerlukan respons global. Kita mesti bekerjasama merentas semua negara untuk mempercepatkan usaha bersama dan membina masa depan yang lebih berdaya tahan untuk planet kita," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan pada Isnin berkata seramai 822 rakyat Singapura yang mendaftar secara dalam talian atau menghubungi kementerian kini telah selamat pulang dari Hat Yai ke Singapura.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan Malaysia atas bantuan yang diberikan.
"Terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membantu menerima rakyat Singapura apabila perlu serta memberikan sokongan tepat pada masanya sepanjang operasi pemindahan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



