IPOH: Jumlah mangsa banjir kilat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Chepor di sini terus mencatat penurunan kepada 77 orang pada pagi ini berbanding 87 orang pada semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kinta berkata daripada angka tersebut, ia membabitkan seramai 21 keluarga yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Klebang, di sini.

“Setakat jam 8 pagi, mangsa banjir kilat terdiri daripada 26 orang lelaki dewasa, 31 orang perempuan dewasa, kanak-kanak lelaki (10 orang), kanak-kanak perempuan (enam orang) , bayi lelaki (dua) serta bayi perempuan (dua),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya seramai 11 petugas turut ditempatkan di PPS tersebut yang terdiri daripada Agensi Pertahanan Awam, Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Rela.

Pada Rabu, Pejabat Penerangan Daerah Kinta dilaporkan berkata kejadian banjir kilat yang melanda RPT Kampung Chepor pada malam Selasa itu berpunca daripada hujan lebat yang mengakibatkan air Sungai Chepor melimpah.

Pada Selasa Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan banjir kilat itu pada jam 10.05 malam setelah paras air ketika itu adalah kira-kira setengah meter.

Hujan lebat pada Selasa yang berterusan sejak petang hingga tengah malam itu menyebabkan beberapa kawasan di Ipoh dilanda banjir kilat.