Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 10,126 orang daripada 2,846 keluarga setakat 5 petang ini berbanding 11,654 orang daripada 3,300 keluarga pada 1 tengah hari tadi.

Kesemua mangsa itu ditempatkan di 57 pusat pemindahan di tujuh jajahan di negeri ini.

Menurut infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 5,113 orang daripada 1,363 keluarga ditempatkan di 23 pusat pemindahan di Kota Bharu manakala 10 pusat pemindahan di Pasir Puteh menempatkan 2,520 orang daripada 689 keluarga.

Di Pasir Mas, sebanyak 19 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan 1,785 mangsa daripada 600 keluarga, Bachok pula merekodkan 522 mangsa daripada 141 keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.

Selain itu, Machang mencatatkan 122 mangsa daripada 35 keluarga di satu pusat pemindahannya, manakala satu pusat pemindahan di Tanah Merah menempatkan 18 mangsa daripada enam keluarga.

Sementara itu, Kuala Krai menempatkan 46 mangsa daripada 12 keluarga di dua pusat pemindahannya.

Pusat pemindahan banjir di Tumpat yang menempatkan 1,171 mangsa daripada 340 keluarga di tiga pusat pemindahan tengah hari tadi ditutup sepenuhnya selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang ini.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kembali meningkat kepada 10.16 meter (m) pada 5 petang ini berbanding 10.06m pada 12 tengah hari tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.0m. -- Bernama