HULU TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 5,722 orang pada hari ketiga bencana itu melanda.

Berikutan itu, sebanyak 102 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh negeri bagi menempatkan 1,736 keluarga membabitkan lapan daerah di negeri itu.

Menerusi laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, hanya daerah Kuala Terengganu menunjukkan penurunan jumlah mangsa manakala daerah Kuala Nerus dan Marang pula tidak berubah.

Berdasarkan jumlah itu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila 521 keluarga membabitkan seramai 1,924 mangsa ditempatkan 19 PPS.

Di Hulu Terengganu juga turut merekodkan pertambahan mangsa yang kini mencecah seramai 1,001 mangsa membabitkan 429 keluarga di 16 PPS.

Manakala di Setiu pula, seramai 1,039 orang daripada 317 keluarga dipindahkan ke 25 PPS.

Sementara itu, jumlah mangsa di Dungun turut bertambah kepada 804 mangsa yang ditempatkan di 11 PPS berbanding hanya 236 mangsa di tujuh PPS sebelum ini.

BACA: Terkandas di Pulau Perhentian: Bekalan makanan makin kurang, tiada bot dibenarkan keluar - Pelancong 

BACA: Banjir: Rantau Panjang kini lumpuh, keseluruhan daerah ditenggelami air

Peningkatan jumlah mangsa turut berlaku di Besut apabila 24 PPS dibuka bagi menempatkan 709 mangsa daripada 148 keluarga.

Di Kuala Nerus, sebanyak 63 keluarga membabitkan 202 mangsa masih berada di lima PPS manakala Marang kekal dengan lima mangsa daripada satu keluarga berada di sebuah PPS.

Di Kuala Terengganu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 38 mangsa daripada sembilan keluarga berbanding seramai 54 mangsa daripada 12 keluarga sebelum ini.