Mangsa banjir di Perak meningkat kepada 56 orang, apabila sebuah lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Daerah Kuala Kangsar, awal pagi ini.

PPS Dewan Orang Ramai Kampung Setor, Padang Rengas dibuka jam 12.10 pagi tadi bagi menempat lima sekeluarga di kampung itu selepas rumah mereka dinaiki air.

Menurut laporan terbaharu Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perak, keadaan di Daerah Kampar kekal dengan 23 mangsa dari tujuh keluarga di Kampung Simpang Halt, Taiping dipindahkan ke dewan orang ramai kampung itu yang dibuka jam 6.30 petang semalam.

Di Kampar pula, mangsa meningkat daripada 18 orang dari empat keluarga di Kampung Baru Kuala Dipang dan Kampung Chabang Dua Kuala Dipang kepada 28 orang daripada tujuh keluarga.

Mereka ditempatkan di Dewan Orang Ramai Datuk Azman Mahalan yang dibuka jam 9 malam tadi.

Foto Astro AWANI/Razak Ali
Menurut laporan itu lagi, hujan lebat turut menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Kinta dan Selama mengalami banjir kilat.

Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka dan pemantauan masih dilakukan.