KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan rasa terharu dengan pengorbanan pasukan keselamatan yang menjalankan khidmat bagi melancarkan operasi bantuan kepada mangsa banjir.

Ismail Sabri menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, mereka sanggup berkorban dan mengenepikan kepentingan diri demi keselamatan negara dan Keluarga Malaysia.

“Ketika mereka bertarung nyawa menyelamatkan mangsa, ada sebahagian anggota keselamatan turut kehilangan rumah dan harta-benda, malah tidak tahu ke mana ahli keluarga mereka dipindahkan akibat bencana.

“Terima kasih frontliners, terima kasih semua!” ucap beliau.


Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu turut mengingatkan orang ramai agar berwaspada akan ketidaktentuan cuaca sepanjang bulan ini.

“Ramalan Jabatan Metereologi Malaysia luruan monsun yang akan berlaku pada 27-29 Disember ini di mana hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah Timur dan Sarawak Barat.

“Orang ramai diminta berjaga-jaga kerana angin kencang dan laut bergelora turut diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung mulai 26-29 Disember 2021,” ujarnya lagi.