MALAYSIA
Banjir Sabah: TPM arah pemasangan jambatan Bailey di Sungai Kaidun disegerakan

Menurut Ahmad Zahid, Nadma sudah membekalkan tiga unit stok jambatan keluli bermodular kepada kerajaan negeri tahun lalu sebagai sebahagian persediaan meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur menghadapi bencana. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pemasangan jambatan panel keluli bermodular atau jambatan Bailey di Sungai Kaiduan, Papar, Sabah disegerakan bagi mengelakkan sebarang gangguan perhubungan.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid arah pemasangan segera jambatan Bailey di Sungai Kaiduan, Papar, selepas jambatan sedia ada runtuh akibat arus deras susulan hujan berterusan.
- JKR Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) digerakkan untuk kerja pemasangan, manakala usaha membaik pulih infrastruktur lain seperti Jalan Penampang-Tambunan, cerun runtuh, dan jambatan gantung turut dipergiat.
- NGO dan penduduk setempat menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir, sementara Nadma menyelaras pengurusan bencana bersama kerajaan negeri; Ahmad Zahid berdoa agar semua negeri terjejas pulih segera.
"Jadi saya meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah serta Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), yang memiliki kepakaran khusus dalam pembinaan jambatan Bailey, untuk segera melaksanakan pemasangan di kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Ahmad Zahid berkata, JKR Sabah turut menumpukan usaha membaik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh, dengan kerjasama syarikat konsesi.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan runtuhan, penstabilan cerun serta pembaikan segera sedang dipergiat, termasuk membina semula jambatan gantung yang terputus, membina tembok penahan cerun di kawasan perumahan terjejas dan memperbaiki jalan yang runtuh.
"Selain bantuan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana di Sabah.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan kepada mangsa bencana. Antara bantuan yang dihulurkan adalah merangkumi makanan sedia dimakan, barangan keperluan harian, selimut, tilam, bantal serta bantuan logistik lain.
"Usaha ini secara tidak langsung membantu meringankan beban mangsa yang terjejas dan menyokong kelancaran operasi bantuan di kawasan bencana.
Beliau memberitahu, Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abdul Halim Hamzah juga turun ke Sabah bersama-sama Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP) bagi membantu menyelaras pengurusan bencana di sana.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menitipkan doa agar semua negeri yang ditimpa musibah banjir segera pulih, seterusnya membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami